Aktiviti, kerja-kerja dan lawatan

Berita Terkini

Langkah Strategik Sektor Perlombongan: Lawatan Penanda Aras ke Kilang Pemprosesan Bijih Besi Sri Bandi

Langkah Strategik Sektor Perlombongan: Lawatan Penanda Aras ke Kilang Pemprosesan Bijih Besi Sri Bandi

Delegasi Koperasi telah mengadakan satu lawatan kerja dan penanda aras ke sebuah kilang pemprosesan bijih besi yang beroperasi di Sri Bandi pada hari ini. Sesi lawatan yang sarat dengan perkongsian maklumat industri ini turut diserikan dengan pertemuan bersama tokoh-tokoh korporat yang berpengalaman luas dalam sektor perlombongan.

Delegasi berkesempatan untuk merakamkan kenangan dan bertukar pandangan bersama Dato’ Sri Ivan Chee, Ketua Pegawai Eksekutif Fortress Minerals, serta Tuan Haji Shamsurey, Pengarah Syarikat SMA Berkat.

Lawatan ini bukan sekadar tinjauan biasa, malah ia membawa makna yang cukup signifikan bagi perancangan jangka panjang Koperasi Warisan Polis Terengganu Berhad (KWPTB). Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan strategik sektor perlombongan kita, sebuah kilang pemprosesan dengan kapasiti dan piawaian operasi yang sama dirancang untuk dibangunkan di tapak lombong KWPTB.

Fasiliti pemprosesan mineral ini akan mula direalisasikan sejurus selepas Koperasi memperoleh kelulusan rasmi daripada pihak berwajib. Diharapkan perancangan besar ini berjalan lancar dan dipermudahkan, seterusnya bakal menjadi pemangkin kepada lonjakan ekonomi dan penjanaan hasil yang lumayan buat Koperasi. Insya-Allah.