Bermula 1922, gerakan koperasi mula diperkenalkan dan telah memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan ekonomi Negara.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, sebagai usaha mengatasi masalah penindasan oleh orang tengah, koperasi diperkenalkan sebagai organisasi yang berdikari dalam memajukan kehendak sosio-ekonomi anggota-anggotanya.
“Sehingga kini, Gerakan Koperasi telah memasuki pelbagai bidang ekonomi dan menjalankan pelbagai fungsi seperti perumahan, pengangkutan, kemajuan tanah, insurans, percetakan dan perkhidmatan bank.

“Dimaklumkan bahawa sehingga akhir tahun 2022, sebanyak 773 buah koperasi telah didaftarkan di Terengganu, dengan jumlah keanggotaan berjumlah 246,333 orang, jumlah aset bernilai RM680 juta dan jumlah perniagaan koperasi bernilai RM360 juta.
“Jumlah ini didapati meningkat jika dibandingkan pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan sambutan yang baik oleh masyarakat terhadap konsep berkoperasi, lebih-lebih lagi apabila proses penubuhannya yang semakin dipermudahkan,” katanya.